Navigation : Home | Facebook | Twitter | Follow | Dashboard | Newer | Older

❝ Someone Like U ❞



Isnin, Januari 31, 2011 | Januari 31, 2011 | 0 Lovers
"Semuanya bermula sewaktu di Universiti Malaya, ketika itu saya memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Dan dari situ jugalah saya dapat merasakan tanggungjawab dan peranan yang perlu saya pikul dalam membimbing serta membuka jalan kepada anak-anak muda tentang keilmuan Islam," itulah kata-kata permulaan yang keluar dari mulut pendakwah terkenal, Ustaz Haji Zaharuddin bin Haji Abd Rahman.




Nama beliau bukan sahaja terkenal di serata pelusuk negeri di Malaysia, bahkan juga di luar negara. Ustaz Haji Zaharuddin bin Haji Abd Rahman merupakan seorang pendakwah bebas, pengacara, pensyarah dan juga pakar dalam bidang perbankan Islam. Kepakaran beliau dapat dihidu oleh pelbagai syarikat terkemuka di dalam dan di luar negara sehinggakan beliau mendapat banyak tawaran kerja dari serata dunia.



Kisah beliau bermula apabila beliau menamatkan pengajiannya di dalam bidang Usuluddin di Universiti Malaya. Sudah menjadi kebiasaan, anak muda yang baru sahaja menamatkan pengajian akan mula sibuk mencari pekerjaan bagi menampung perbelanjaan diri dan juga keluarga.



Namun, lain pula bagi Ustaz Zaharuddin. Sebaik sahaja menamatkan pengajian, beliau berjinak-jinak dalam memberi motivasi kepada anak-anak muda. Walaupun secara sambilan, namun secara tidak langsung ia dapat memberi satu impak besar dan positif kepada remaja ketika itu.



"Tamat sahaja belajar, saya terus menjadi freelance motivator. Dari situ saya memupuk semangat mencabar diri saya dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan liku dan cabaran," kata Ustaz Zaharauddin.



Peluang jangan ditolak, sepanjang menjadi freelance motivator, Ustaz Zaharuddin berpeluang untuk berkenalan dengan ramai tokoh-tokoh korporat yang berjaya. Dan dari situ, beliau mengambil peluang dan kesempatan untuk merapatkan diri dengan golongan berjaya ini dan mendapatkan tips dan juga nasihat untuk melangkah ke hadapan.



Menurut Ustaz Zaharuddin, beliau berhenti menjadi freelance motivator dan mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat sarjana dalam jurusan Syariah di Universiti Al-Yarmouk, Jordan.



Kemudian, beliau bekerja dengan RHB Islamik Bank sebagai Pengurus Kanan di bank tersebut. Menurutnya, pengalaman bekerja di RHB merupakan sesuatu yang tidak dapat dilupakan oleh beliau pada ketika itu. Apa tidaknya, tugas beliau melibatkan segenap aspek perkara sehinggakan tidak menang tangan. Namun, beliau tidak mudah putus asa dan sudah menjadi kebiasaan membuat banyak kerja dalam satu masa.



Setiap saat beliau bekerja, beliau cuba mencari ruang dan peluang untuk mendapatkan ilmu. Beliau selalu menekankan di dalam dirinya supaya tidak jemu-jemu untuk mencari ilmu dengan ilmu orang yakni bermaksud tiada batasan dalam mencari ilmu.





Tempuhi Cabaran



"Semasa saya bekerja, banyak perkara yang belum saya ketahui. Bekerja di bank bukanlah suatu perkara yang biasa. Pada saya, ianya sangat mencabar. Saya mempunyai masalah dalam penggunaan perkataan atau terminologi yang digunakan dalam sistem perbankan. Namun itu bukanlah penghalang untuk saya meneruskan kerjaya saya." itulah jawapan dari Ustaz Zaharuddin apabila ditanya tentang antara cabaran yang beliau hadapi.



Sepanjang kerjayanya, beliau mendalami segala ilmu-ilmu perbankan Islam. Dari sistem perbankan Islam tempatan sehingglah sistem perbankan Islam di luar negara dapat dikuasai beliau. Ini kerana, terdapat banyak perbezaan antara dua sistem tersebut.



Menurut Ustaz Zaharuddin, cabaran bekerja di bank pada ketika itu banyak mengajar beliau erti kesabaran dan kesungguhan. Apa tidaknya, banyak perkara yang perlu beliau pelajari ketika itu. Beliau juga pernah diminta oleh pihak pengurusan untuk memberi penerangan tentang sistem kewangan Islam dihadapan tokoh-tokoh dan pakar perbankan Islam sedunia. Pada waktu itu, beliau baru sahaja bekerja kurang dari setahun dan diminta untuk memberi penerangan.



"Saya terkejut dengan permintaan pihak pengurusan. Namun, tugas dan tanggungjawab harus saya laksanakan juga. Dan alhamdullilah, semuanya berjalan dengan lancar dan seperti yang dirancang. Saya juga dinaikkan pangkat. Selain itu, saya juga diminta untuk menjadi penulis di dalam akhbar NST Business Times" ujar beliau sambil tersenyum.



Walaupun begitu, beliau telah ditawarkan bekerja oleh Asian Islamic Bank yang beroperasi di Qatar. Menerima tawaran tersebut, Ustaz Zaharuddin akhirnya berpindah ke Qatar dan bekerja di sana selama hampir satu tahun setengah. Walaupun pelbagai rintangan yang dihadapinya, namun berbekalkan semangat dan keazaman beliau yang tinggi akhirnya beliau dapat menguasai pelbagai terminologi perbankan Islam dan juga segala ilmu tentang perbankan Islam di dalam dan di luar negara.



Tukar Bidang



Setiap manusia pasti mempunyai impiannya yang tersendiri. Begitu juga dengan Ustaz Zaharuddin, keinginan beliau untuk bekerja di bank mula padam. Nalurinya berkata untuk menjadi seorang pendidik.



Akhirnya beliau mengisi borang dan menjalani temuduga untuk jawatan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa. Ketika menjalani sesi temuduga, menurut Ustaz Zaharuddin, si penemuduga terperanjat melihat pengalaman kerjayanya seraya bertanyakan "Adakah awak pasti dengan apa yang awak cuba lakukan? Gaji awak akan merudum banyak."



Namun bukan gaji yang dipandang Ustaz Zaharuddin. Pada beliau, menjadi seorang pendidik adalah suatu perkara yang sangat mulia. Beliau ingin berkongsi ilmu dengan orang lebih-lebih lagi yang menjadi anak muridnya nanti.



"Saya pun terkejut kerana orang yang menemuduga saya bertanyakan soalan sebegitu. Tapi saya tidak kisah. Saya nyatakan terus hasrat dan niat saya. Dalam masa yang sama, saya nyatakan juga keinginan untuk menyambung pengajian saya di peringkat Doktor Falsafah atau PhD."



Akhirnya beliau diterima masuk sebagai pensyarah. Beliau menjadi pensyarah selama satu semester sahaja dan kemudian beliau melanjutkan pengajiannya di University of Wales, United Kingdom dengan mengambil jurusan dalam bidang PhD Syariah dan Perbankan Islam.



Laman Web Islamik Terbaik



Menurut Ustaz Zaharuddin, fokus utama beliau menghasilkan laman webnya adalah untuk berkongsi ilmu dengan semua orang. Ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada mereka yang melayarinya



Di dalam laman webnya, beliau banyak menerapkan dan mengisi pelbagai hadis – hadis yang sahih. Ini kerana, hari ini ramai umat Islam Mulism mudah tertipu dengan hadis-hadis yang tidak sahih.



Antara lain, beliau juga mengenakan layout yang santai dan mudah untuk menarik perhatian orang ramai untuk melayari laman webnya. Tambahan itu, untuk beliau mengelakkan untuk memasukkan mana-mana isu yang boleh menyentuh sensitiviti orang lain.



"Di dalam laman web saya, saya gemar untuk berkongsi tentang ilmu-ilmu perbankan Islam, hadis-hadis Nabi SAW. Ini kerana itulah yang ingin dicari oleh orang yang mengikuti perkembangan diri saya. Dan itulah ilmu yang saya ingin kongsikan dengan mereka." ujar Ustaz Zaharuddin.



Menurut Ustaz Zaharuddin lagi, beliau tidak menyangka laman webnya akan dianugerahkan sebagai laman web Islamik terbaik. Ini kerana, beliau tidak megisi borang penyertaan atas kesibukan yang melanda diri.



"Saya tidak mengisi borang penyertaan kerana pada ketika itu saya sibuk dengan urusan kerja. Dan saya juga terperanjat apabila saya mendengar ada orang beritahu laman web saya menang. Perasaan saya gembira bercampur pelik. Akhirnya, ada orang memberitahu saya, ada seorang hamba Allah yang mengisikan borang tersebut untuk dipertandingkan. Saya terharu dan mengucap terima kasih walaupun tidak pernah bertemu. " jelas Ustaz Zaharuddin.



Kini, Ustaz Zaharuddin menetap di United Kingdom dan menjadi pensyarah di universiti tersebut. Selain itu, beliau juga banyak terlibat dengan persidangan perbankan Islam sedunia malah telah berjumpa dengan ramai tokoh-tokoh perbankan Islam yang termasyhur. Ini merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan sebagai seorang anak Malaysia yang berjaya di negara orang.



p/s : Ustaz Zaharuddin dan isterinya Ustazah Husna merupakan kolumnis baru untuk web iluvislam.com


Label:



0 Ulasan posted :